KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan wang ganti rugi berjumlah lebih RM31 juta yang diperoleh Pastor Raymond Koh didepositkan ke dalam akaun Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai pemegang amanah sehingga keberadaannya dikenal pasti.
Peguam Jerald Gomez, yang mewakili isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke berkata, keputusan itu dibuat Hakim Su Tiang Joo selepas pihaknya dan Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid mewakili kerajaan serta polis, mencapai persetujuan bersama.
“Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah bagi memegang wang dan faedah berkenaan sehingga keberadaan Koh dapat dikenal pasti atau didedahkan,” katanya kepada media selepas prosiding selesai.
Menurut Gomez, ARB dipilih kerana caj pengurusannya rendah serta memberikan jaminan untuk memulangkan semula wang itu kepada kerajaan sekiranya keputusan mahkamah berubah pada peringkat rayuan.
Pada 5 November lalu, mahkamah mengarahkan kerajaan mendepositkan wang terbabit ke dalam akaun pemegang amanah sementara menunggu perkembangan mengenai keberadaan Koh.
Wang tersebut merangkumi ganti rugi am RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, sehingga lokasi Koh didedahkan; ganti rugi RM1 juta serta ganti rugi teladan RM1 juta.
Pada 28 November lalu, Susanna memohon firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Jerald Gomez & Associates, dilantik sebagai pemegang amanah dan turut mencadangkan PB Trustee Services Berhad serta Amanah Raya Berhad sebagai alternatif.
Susanna sebelum ini memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara penyiasatan dijalankan.
Pastor Raymond Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017 dan sehingga kini keberadaannya masih tidak diketahui.
