GOMBAK: Seorang wanita cemas apabila kereta dipandunya dihempap struktur besi di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.47 tengah hari dan segera menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, komander operasi melaporkan berlaku runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghempap sebuah kenderaan jenis Suzuki Swift.
Sebaik pasukan bomba tiba, mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, mengesahkan pemandu wanita itu terselamat dalam kejadian berkenaan.
Terdahulu, beberapa klip video dan gambar tular dalam media sosial memaparkan sebuah kereta dihempap struktur besi dipercayai daripada tapak projek ECRL, sekali gus menarik perhatian orang ramai di lokasi.
