
SUBANG JAYA: Seramai 10 pengunjung cedera ringan selepas roller coaster yang dinaiki mereka mengalami kemalangan di sebuah taman tema di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, permainan berkenaan dinaiki 22 pengunjung termasuk pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, 10 mangsa yang cedera dibawa ke beberapa pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.45 pagi semalam dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan yang membawa kepada kemalangan berkenaan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7100 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial yang mendakwa kemalangan itu mengakibatkan kematian serta kecederaan parah.
Polis mengesahkan tiada kematian dilaporkan dan kesemua 10 mangsa yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.




