
PUTRAJAYA: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang memaklumkan pertemuan itu berlangsung semalam.
“Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam tapi tak dimaklumkan apa perbincangan.
“Memang ada (pertemuan) untuk pimpinan dalam masa sehari dua ini, ada banyak perjumpaan, mesyuarat, memang ada tapi sama ada itu antara topik, tidak dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Ditanya mengenai model kerjasama yang akan digunakan PH dalam menghadapi pilihan raya, Fahmi berkata, Pengerusi PH sebelum ini sudah menggariskan keperluan untuk gabungan itu merangkul seluruh kekuatan yang ada.
“Pengerusi Pakatan Harapan (Anwar) sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, beliau memaklumkan bahawa kita perlu berusaha untuk bukan hanya mengambil semula ‘otai-otai’, orang-orang lama seperti Tian Chua, Dr Xavier (Jayakumar) dan ramai lagi, tapi juga kita perlu merangkul seluruh kekuatan.
“Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” katanya.







