
AYER KEROH: Seramai 1,328 individu menerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sebagai pengiktirafan atas khidmat, sumbangan dan bakti mereka dalam pelbagai bidang.
Penganugerahan itu disempurnakan sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd Rustam, hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek antara penerima utama apabila dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris serta Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin, turut menerima darjah berkenaan.
Sementara itu, Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira dianugerahkan kepada 56 individu.
Antara penerimanya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pula diterima 14 individu, termasuk Timbalan Speaker Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.
Selain itu, seramai 189 individu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk.
Antara penerima ialah Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Azhari Muhiddin; penyanyi kelahiran Merlimau, Siti Roziana Zain atau Ziana Zain dan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
Lima individu pula ditauliahkan sebagai Jaksa Pendamai (JP), manakala 106 lagi menerima Darjah Seri Melaka (DSM).
Bagi kategori bintang dan pingat, Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dianugerahkan kepada 151 penerima, diikuti Bintang Khidmat Terpuji (BKT) kepada 244 individu.
Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pula diberikan kepada 386 penerima, Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kepada 161 individu dan Pingat Khidmat Lama (PKL) kepada lima penerima.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, berkata keseluruhan penganugerahan itu menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang menyumbang tenaga dan kepakaran dalam pelbagai bidang demi pembangunan serta kesejahteraan Melaka.
Katanya, Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 diselaraskan bersama agensi berkaitan dengan mematuhi prosedur serta tatacara ditetapkan.
“Istiadat akan dijalankan dalam tiga sesi bermula hari ini diikuti sesi kedua pada dan ketiga pada Rabu ini,” katanya,” katanya.




