
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memulakan langkah ke arah penubuhan Hospital MARA dengan membentuk pasukan khas bagi menggerakkan agenda berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hospital itu bukan sahaja dicadangkan sebagai hospital pengajar, malah bakal berperanan sebagai pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera.
Katanya, Mara mempunyai ekosistem yang lengkap bagi merealisasikan penubuhan hospital berkenaan termasuk 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental, selain UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) yang melahirkan doktor serta Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang melatih jururawat.
“Lima rasional utama kenapa sudah tiba masanya untuk membangunkan Hospital Mara ialah pertama, Mara sudah mempunyai ekosistem pendidikan yang sangat besar, termasuk UniKL RCMP yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi dan program berkaitan.
“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebahagian daripada keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, rasional kedua ialah Mara sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan, merangkumi pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan TVET dan teknologi melalui KKTM (kini TVETMara), jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.
“Kekuatan Mara ialah kita bukan hanya mempunyai institusi perubatan. Kita juga mempunyai TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri. Sebuah hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu,” katanya.
Beliau berkata, rasional ketiga ialah Program Sains Bioperubatan UniKL MESTECH dan disiplin teknologi di pelbagai kampus UniKL boleh disepadukan berikutan kekuatan Mara dalam bidang pendidikan perubatan, kejuruteraan dan teknologi berkaitan kesihatan.
“Keempat, Hospital Mara boleh berfungsi sebagai ‘living laboratory’ (makmal hidup) untuk pelajar dan penyelidik Mara.
“Pelajar KKTM boleh terbabit dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan AI (kecerdasan buatan), IoT (Internet Kebendaan), robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan Mara membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem berkenaan,” katanya.
Katanya, rangkaian 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental turut menjadi komponen penting dalam cadangan itu kerana Mara sudah mempunyai jaringan perkhidmatan penjagaan kesihatan barisan hadapan melalui klinik milik usahawan profesional Bumiputera di bawah program ProSPEC.
Menurutnya, cadangan penubuhan Hospital Mara juga merupakan kesinambungan semula jadi mandat Mara dalam membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik Bumiputera.
“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya Mara bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri terbabit,” katanya.





