
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan cuba membunuh seorang wanita warga emas dengan membakarnya menggunakan petrol sehingga menyebabkan kecederaan serius, awal bulan ini.
Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap pekerja premis menjual nombor ramalan, Gan Siew Teen, 62, di premis berkenaan di Taman Pusat Kepong, Sentul di sini pada pukul 7.51 pagi, 9 Ogos lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat menyebabkan kematian mangsa, yang disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar sehingga mengalami kecederaan serius.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan berkenaan serius dan tidak boleh dijamin, selain mendakwa tertuduh pernah cuba melarikan diri sebelum ini.
Peguam Lee Keng Fatt yang mewakili Ang memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-panggilan dengan pendapatan tidak tetap.
“Anak guam saya masih belum berkahwin dan mempunyai adik-beradik. Oleh itu, mohon supaya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur 50 peratus pada bahagian badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar di premis tempat kerjanya.




