
TERENGGANU: Golongan berusia 31 hingga 59 tahun kekal mencatat jumlah tertinggi dalam statistik penyalahgunaan dadah dengan 92,590 individu atau 71.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam tempoh sama, seramai 3,229 individu berusia 60 tahun ke atas turut direkodkan terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah, mewakili 2.5 peratus daripada keseluruhan kes.
Katanya, jumlah membabitkan warga emas itu menunjukkan penurunan berbanding 4,311 individu yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, termasuk mereka yang menghampiri usia 60 tahun.
Beliau berkata, data berkenaan menunjukkan golongan dewasa pertengahan masih menjadi kumpulan paling terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah.
”Kebanyakan daripada mereka mengambil dadah jenis sintetik, di mana data secara keseluruhannya memperlihatkan peningkatan kadar penggunaan dadah sintetik sehingga melebihi 70 peratus.
”Di kawasan Pantai Timur, majoriti penggunaan mengarah kepada dadah sintetik, namun syabu dan jenis dadah lain masih turut digunakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Hulu Terengganu.
Mengulas penglibatan golongan profesional termasuk juruterbang, Ruslin berkata AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menetapkan status atau bidang pekerjaan sebagai fokus khusus dalam menangani penyalahgunaan dadah.
Katanya, risiko berkenaan boleh melibatkan sesiapa sahaja tanpa mengira profesion, termasuk guru, peguam dan kakitangan dalam sektor penerbangan.
Menurut beliau, AADK dalam masa terdekat akan mengadakan perbincangan bersama Malaysian Aviation Group (MAG) bagi merangka langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan kakitangan penerbangan.
”Antara langkah yang dicadangkan adalah pelaksanaan ujian air kencing secara berkala atau rawak sebagai saringan dari semasa ke semasa, yang akan dibincangkan terlebih dahulu bagi menentukan kaedah paling sesuai.
”Selain itu, kita turut mengalu-alukan syarikat-syarikat besar dan sektor swasta untuk bekerjasama menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah bagi melatih pegawai syarikat mengendalikan ujian saringan secara dalaman,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan secara menyeluruh amat penting memandangkan isu penyalahgunaan dadah melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan mahupun sektor swasta boleh mendapatkan sokongan penuh daripada AADK dan PDRM.




