
KUALA LUMPUR : Sebanyak 109 pemaju disenaraihitam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pemaju yang disenaraihitam tersebut gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Tindakan menyenaraihitam pemaju-pemaju ini memberi mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan. Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14, di sini hari ini.
Tambah beliau, isu keselamatan pembeli rumah kekal sebagai antara yang menjadi keutamaan kementerian.
“Pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Antara kesalahan yang dilakukan pemaju-pemaju tersebut adalah kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan dan kegagalan mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Katanya, pemaju yang disenaraihitam tidak layak untuk memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda yang tertunggak.
Beliau turut menasihatkan pembeli rumah untuk menyemak terlebih dahulu status lesen pemaju di laman web rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/ sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi membeli hartanah.