
GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di Bandar Utama Gua Musang (BUGM), di sini, bimbang dengan keselamatan mereka susulan kehadiran seekor beruang matahari dewasa di kawasan perumahan itu petang semalam.
Kemunculan haiwan liar itu sempat dirakamkan beberapa penduduk dan tular dalam media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata beliau dimaklumkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sudah membuat pemantauan dan melakukan tembakan untuk menghalau beruang terbabit.
Katanya, tindakan susulan akan diambil pihak terbabit, jika beruang liar itu muncul kembali.
“Penduduk di sekitar BUGM diminta berhati-hati dan memantau pergerakan anak mereka kerana kita bimbang haiwan liar ini akan muncul kembali kerana perumahan ini berhampiran hutan dan Gua Musang.
“Sebelum ini pun kita dikejutkan dengan kemunculan harimau kumbang di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semur,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata pihaknya terus melakukan pemantauan di kawasan terbabit dan menasihatkan orang ramai yang terserempak haiwan liar supaya menjauhkan diri serta tidak melakukan provokasi yang boleh menimbulkan ancaman.