
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM65.4 juta nilai kerugian dianggarkan ekoran kerosakan kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan pasukan teknikal diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu mendapati 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
“Selain itu, tindakan pantas pasukan keselamatan seperti bomba, bersama bantuan orang awam dan penduduk, menyelamatkan nilai yang dianggarkan berjumlah RM285.9 juta,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin turut memaklumkan bahawa penilaian terhadap kerosakan infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata radius kawasan siasatan telah diperluas kepada 325 meter persegi berbanding 290 meter persegi sebelum ini.
“Sehingga hari ini, sebanyak 151 rumah telah disahkan selamat dan pemiliknya telah dibenarkan pulang, dengan kemungkinan ada kerosakan kecil yang perlu dibaiki,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Johary Anuar untuk mengetuai Fasa Pemulihan, termasuk kaedah baik pulih bagi kawasan yang terkesan seperti rumah, jalan, infrastruktur, dan fasiliti awam.