
KUALA LUMPUR: Seramai 288,000 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mendaftar bagi membuat caruman pekerja melebihi kadar berkanun sebanyak 11 peratus setakat Oktober lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pencarum boleh melakukan carum sendiri pada bila-bila masa secara sukarela bagi menambah simpanan.
Namun tambahnya, ia harus tertakluk kepada had tahunan sebanyak RM100,000 setahun mulai 1 Jun 2023.
“Caruman sukarela ini boleh dibuat pada bila-bila masa melalui aplikasi mudah alih, perbankan internet, ejen kaunter bank serta kaunter KWSP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Roderick Wong Siew Lead mengenai inisiatif-inisiatif diambil KWSP bagi bagi membantu pencarum meningkatkan caruman persaraan mereka di Dewan Negara hari ini.
Tambah Hui Ying, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak satu juta pencarum KWSP membuat caruman sukarela yang berjumlah RM11.16 billion.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kerajaan menerusi program iSaraan telah memberi caruman padanan sehingga RM500 setahun, tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi seorang individu.
“Bagi golongan muda, KWSP membenarkan individu berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun bagi menggalakkan golongan itu membuat simpanan awal selain memupuk kesedaran kepentingan simpanan jangka panjang serta memanfaatkan gandaan dividen.
“Kerajaan juga memberikan insentif caruman padanan 50 peratus bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih,” jelasnya.