
PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersetuju menterjemahkan beberapa karya penyair agung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy ke dalam Bahasa Melayu.
Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, Magtymguly terkenal dengan karyanya yang mencerminkan komitmen kepada keadilan, keamanan dan keperibadian yang luhur dalam menentang ketamakan serta penyalahgunaan kuasa.
“Sebagai tanda penghormatan dan kekaguman kami terhadap negara hebat ini serta kepemimpinan Presiden dan rakyat Turkmenistan, kami ingin menyampaikan penghargaan kepada penyair ulung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy, yang kini sedang diraikan sempena ulang tahun ke-300 kelahirannya.
“Saya sukacitanya memaklumkan DBP bersetuju dan giat bekerja menterjemahkan beberapa karya hebat penyair ini ke dalam Bahasa Melayu, supaya karya beliau dapat dikenali di sini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini, hari ini.
Anwar berkata, usaha itu juga akan memberi makna mendalam kepada kerjasama komprehensif antara negara Islam dalam komitmen terhadap pembangunan dan keamanan.
“Saya amat terkesan dengan minat Presiden, bukan sahaja untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, tetapi juga pandangannya yang menyeluruh mengenai pembangunan, termasuk dalam aspek kebudayaan serta usaha beliau mempromosikan keamanan antarabangsa yang kami sokong sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan bersama selepas pertemuan Anwar dan Berdimuhamedow, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan sukan, yang akan menyumbang secara positif kepada pengukuhan hubungan kedua-dua negara.
Justeru, bagi mempromosikan hubungan antara rakyat, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuhkan program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan.