
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan tiga dana untuk memperkasakan bidang sukan di negara ini iaitu Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Ketiga-tiga dana tersebut dapat meliputi penganjuran kira-kira 103 jenis sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Menerusi kenyataan, KBS memaklumkan, GPS memberi peluang kepada badan sukan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS), kelab/ pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Skop permohonan meliputi penganjuran program sukan bagi sukan prestasi tinggi dan impak tinggi di peringkat Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara.
“Penyaluran peruntukan GPS ini adalah secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) selepas program selesai dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sehingga 50 peratus daripada kos keseluruhan program atau maksimum sehingga RM1 juta (tertakluk kepada terma dan syarat).
“Permohonan melebihi satu kali. Setiap pemohon boleh membuat permohonan beberapa kali dengan syarat hanya dipertimbangkan satu kelulusan bagi setiap jendela dan kelulusan bagi permohonan seterusnya akan diberi setelah laporan lengkap dikemukakan dan bayaran tuntutan telah disempurnakan untuk kelulusan terdahulu,” menurut kenyataan itu.
Bagi DSK pula, skop pelaksanannya melibatkan peringkat komuniti melibatkan aktiviti kecergasan dan rekreasi.
KBS memaklumkan, bantuan bagi dana tersebut akan diberikan secara ‘one-off’ bagi kelulusan berjumlah RM10,000 ke bawah dan jika melebihi jumlah tersebut, pemberian dana diagihkan secara berperingkat.
Sementara itu, inisiatif dana KWASN disediakan kepada persatuan sukan yang berkelayakan untuk menganjurkan pertandingan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk penyertaan atlet (sama ada yang bernaung di bawah persatuan sukan ataupun persendirian) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa di luar negara.
Orang ramai boleh melayari laman web KBS (https://www.kbs.gov.my/utama-kwasn) bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung permohonan ketiga-tiga dana tersebut.