
ALOR SETAR: Kerajaan dijangka mampu meningkatkan sehingga 46,000 tan hasil padi melalui Program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia secara tidak langsung manpu melonjakkan pendapatan pesawah.
Katanya, pengeluaran padi dijangka meningkat daripada 775,000 tan dengan nilai RM1.008 bilion kepada 821,000 tan dengan nilai RM1.068 bilion, iaitu peningkatan sebanyak enam peratus di kawasan itu.
“Purata peningkatan pendapatan kasar bagi pesawah pula dijangka meningkat daripada hampir RM31,000 kepada RM46,000 setahun dengan terlaksananya musim tambahan penanaman padi.
“Peningkatan pendapatan ini adalah sebanyak 50 peratus yang akan memanfaatkan seramai 6,127 pesawah di kawasan seluas 10,730 hektar yang terlibat,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Cadangan Pembangunan Infrastruktur bagi menyokong program itu di Ibu Pejabat MADA, di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, fasa pertama program itu bernilai RM761.23 juta membabitkan Pembangunan dan Penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (RM526.37 juta) dan Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu (RM234.86 juta).
“Tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa program peningkatan ini perlu fasa demi fasa. Diumum awal dahulu kira-kira RM5 bilion secara keseluruhan tapi fasa pertama ini adalah RM761.23 juta yang ditandatangani dan sedang berjalan.
“Projek yang diberi kelulusan prinsip pada 28 Jun 2023 ini akan dilaksanakan melalui Request For Proposal (RFP) secara Kerjasama Awam Swasta,” katanya.
Katanya lagi, kajian pembangunan infrastruktur pengairan secara menyeluruh di kawasan Muda itu bakal melonjakkan lagi produktiviti hasil padi yang seterusnya mampu menjamin kestabilan bekalan beras negara.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melakukan penambahbaikan di kawasan jelapang padi negara bagi menghadapi cabaran bencana terutama ketika musim banjir.
“Negara kita agak kecil bila berlaku bencana di sebelah utara seperti di Kedah, Perlis serta Kelantan dan Terengganu, ia menjejaskan hasil padi.
“Bila bencana kecil tidak menjadi masalah sangat tetapi bila datang bencana yang besar sebab itu perlu ada jelapang padi khasnya di Sabah dan Sarawak, begitu juga negeri-negeri lain yang bersetuju untuk sawah terbiar lama dipulihkan semula,” katanya.