
IPOH – Malaysia belum bercadang mengadakan akta khusus had umur bagi melarang individu berusia 16 tahun dan ke bawah menggunakan media sosial, seperti yang dilaksanakan Australia, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun akan menumpukan kepada had umur menerusi proses perlesenan kepada penyedia platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna, bermula Januari 2025.
“Semua platform waktu ini tentukan bawah 13 tahun tidak boleh buka akaun media sosial. Kita akan lihat bagaimana mereka kuatkuasakan had larangan had umur itu berdasarkan apa yang mereka sendiri sudah tetapkan.”
“Kita akan pertimbang langkah-langkah tambahan sekiranya mereka gagal, atau maklum balas yang diberikan tidak memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) bersempena Perak Ecomonic Outlook 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Fahmi berkata, langkah perlesenan berada pada fasa akhir dengan perbincangan bersama penyedia platform tertumpu kepada isu teknikal.
“Ada beberapa platform yang meminta penjelasan tentang satu dua perkara, ada yang sedang menyediakan dokumentasi perundangan. Saya telah meminta supaya kesemua dihubungi dan memberikan maklum balas pada hari ini bagi memastikan platform-platform ini berdaftar.
“Ada laporan mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan pedofilia yang berleluasa di beberapa platform. Kita tak nak masalah ini berlarutan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MCMC diminta menghubungi pengendali platform media sosial TikTok, berkaitan aduan kehilangan wang dari akaun e-dagang platform itu seperti yang tular di media sosial.
Jelasnya, aduan itu dianggap sebagai ‘trend’ merisaukan dan punca masalah perlu dikenal pasti sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Fahmi ditanya mengenai dakwaan beberapa pengguna TikTok mengenai wang dalam akaun jual beli e-dagang atau TikTok Shop hilang atau berkurangan dari jumlah asal tanpa transaksi.