
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berdepan masalah dengan penggunaan lesen memandu digital diberi pilihan untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara fizikal di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdekatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bagi warganegara yang berhasrat ke luar negara, kad LLM fizikal boleh dipohon di cawangan JPJ serta Permit Pemanduan Antarabangsa (IDP) yang diterima pakai di negara-negara penjanji Konvensyen Geneva 1949.
Katanya, ketika ini inisiatif pendigitalan masih berada di fasa pertama membabitkan kumpulan sasar iaitu bagi penggunaan dalam negara.
“JPJ memberikan rebat sebanyak RM5 bagi pilihan cetakan digital di semua saluran termasuk MyJPJ sebagai satu inisiatif menggalakkan kempen digitalisasi dan pelanggan JPJ hanya layak mendapat rebat bagi sekali transaksi pembaharuan.
“Kementerian ambil maklum pelbagai reaksi daripada orang awam, bagaimanapun, inisiatif pendigitalan JPJ ini mendapat sambutan dan penerimaan yang baik daripada rakyat berdasarkan muat turun aplikasi MyJPJ,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk meneliti penggunaan semula kad fizikal lesen memandu dengan mengambil kira desakan dan rungutan dari rakyat apabila menghadapi masalah di luar negara mengenai lesen memandu digital yang tidak diterima pakai oleh negara luar mengikut standard piawaian antarabangsa.
Pada Februari 2023, Kementerian Pengangkutan mengumumkan inisiatif pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Cukai Jalan dan LMM.
Inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu (warganegara) saja, yang boleh diakses melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ.
Loke berkata, setakat Oktober 2024, sejumlah 13.7 juta pengguna memuat turun aplikasi MyJPJ dan sebanyak lebih 10.7 juta pendaftaran JPJeID sudah dibuat oleh pengguna sejak diperkenalkan pada Februari 2023.