
KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 buah Muzium Persekutuan dan Negeri di seluruh negara bakal melaksanakan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) yang selari dengan pendekatan nilai Malaysia Madani iaitu hormat dan keyakinan.
Program itu merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium (JMM) dengan Kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, IPIM merupakan program pendudukan muzium berstruktur yang dirangka dengan menggabungkan Pendidikan formal (institusi Pendidikan) dan tidak formal (Pendidikan muzium) menggunakan pendekatan ‘hands on’ terhadap koleksi muzium.
Katanya, pendekatan itu sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (Pdp) serta pedagogi.
“Program ini menggunakan Rancangan Pendidikan Muzium berdasarkan koleksi (artifak) yang dirangka khusus mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah serta Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mata pelajaran Sejarah.
“Program ini dapat memupuk kefahaman dan kesedaran golongan muda terutamanya pelajar sekolah terhadap warisan sejarah dan kepelbagaian budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Permohonan program tersebut kini dibuka bermula pada 16 April 2025. Pihak sekolah atau guru-guru yang berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan melalui pautan https://ipim.jmm.gov.my/.
Selain itu, Aaron Ago juga menyatakan program pembelajaran menerusi koleksi ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menggunakan organ deria bagi merangsang dan memaksimumkan tumpuan mereka sekaligus melatih pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti mana yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Sehubungan itu, bagi sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi urus setia Unit Pendidikan Muzium di talian 03-2267 1000 sambungan 111/166.





