
BANGKOK: Myanmar komited melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan di negara berkenaan susulan bencana gempa bumi pada hujung bulan lalu.
Komitmen itu diberikan kedua-dua pemimpin Myanmar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dua mesyuarat berasingan di sini.
Anwar berkata, beliau mengadakan pertemuan bersemuka bersama Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, petang semalam.
Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than, pagi tadi.
“Saya lihat ada kecenderungan (dari pemimpin Myanmar) untuk meneruskan gencatan senjata kerana itu juga prasyarat untuk semua bantuan kemanusiaan, tetapi mereka sebut peristiwa letupan itu berlaku, kita berharap ia dapat ditangani dengan baik.
“Apakah ada pertemuan (dengan pemimpin Myanmar)? Kemungkinan besar memang kita akan teruskan perundingan ini,” katanya pada sidang media hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja beliau ke sini atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau menyuarakan kepada kedua-dua pemimpin terbabit bahawa gencatan senjata adalah penting dan bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan ke seluruh Myanmar tanpa mengira lokasi atau pendirian politik selari pendirian ASEAN.
Jaminan itu diberikan Min Aung Hlaing dan Mahn Win Khaing Than.
“ASEAN mahu kedamaian disegerakan, ASEAN mahu bantu membangunkan semula Myanmar dan jika boleh Myanmar kembali untuk bersama (ASEAN).
“Rundingan awal bersama pemimpin SAC dan NUG ini sangat berjaya,” katanya sambil menambah blok gabungan itu bersedia memudahkan usaha terbabit dan berinteraksi dengan pemimpin Myanmar.
Anwar berkata, negara anggota ASEAN menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk membina semula Myanmar.
Beliau berkata, Malaysia sebagai contoh menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penempatan hospital medan.
“Saya akan segera menghubungi rakan di ASEAN untuk memaklumkan mereka (mengenai perkembangan ini) dan menggalakkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
“Selain (ASEAN) memantau dan memastikan komitmen terhadap gencatan senjata dan mengelakkan sebarang provokasi yang tidak perlu, kerana jika tidak, seluruh bantuan kemanusiaan ini akan gagal,” katanya.





