KUALA LUMPUR: Seramai 8.6 juta rakyat Malaysia akan menerima pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3, melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion, bermula hari ini.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah serta menyokong matlamat ekonomi MADANI yang inklusif dan saksama.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah bayaran adalah hingga RM650 bergantung kepada kelayakan isi rumah, warga emas dan bujang.
Menurut kenyataan itu, jumlah penerima seramai 8.6 juta itu adalah peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu.
Peningkatan berkenaan hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
MOF turut memaklumkan, pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Solan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.
