KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menghentikan kenyataan atau perbuatan bersifat provokatif yang boleh memburukkan keadaan dalam isu insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, menegaskan andaian tanpa asas sebelum hasil siasatan lengkap diperoleh perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan perpaduan negara.
Beliau berkata, segala tindakan dan keputusan wajar diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta menentukan tindakan atau penalti yang sesuai.
“Ia menjadi satu pengajaran penting kepada kita semua agar lebih memahami dan menghayati simbol-simbol negara dengan sebaiknya. Semangat cintakan negara perlu dizahirkan dengan cara yang betul dan penuh hormat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman X.
Dalam pada itu Aaron berkata, tindakan menggantung bendera secara terbalik adalah salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“Namun begitu, kita juga perlu melihat secara menyeluruh punca sebenar kejadian ini berlaku.
“Ia mungkin berpunca daripada tindakan yang disengajakan, tetapi tidak dapat dinafikan juga ia mungkin berlaku kerana kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan bendera,”jelasnya.
Tambah Aaron lagi, tindakan menggantung bendera secara terbalik adalah salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“ Namun begitu, kita juga perlu melihat secara menyeluruh punca sebenar kejadian ini berlaku.
“Ia mungkin berpunca daripada tindakan yang disengajakan, tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa ia mungkin berlaku kerana kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan bendera,” katanya.
