SIPITANG: Polis kini meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, susulan tumpuan orang ramai terhadap lokasi itu berikutan pengebumian semula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, berkata pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memasang garisan polis dan menugaskan penduduk kampung sebagai pengawas komuniti.
“Untuk tempoh seminggu, kami akan memasang garisan polis sejauh 100 meter dari kawasan pengebumian.
“Akan ada rondaan berkala oleh anggota polis, dengan kerjasama penduduk sebagai penjaga kawasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai, terutamanya pencipta kandungan digital, supaya menghormati privasi penduduk sekitar kawasan perkuburan dan tidak menimbulkan kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam.
Tanah perkuburan itu menjadi tumpuan ramai selepas proses penggalian semula dan pengebumian semula jenazah Zara Qairina, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan pada 17 Julai lalu.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi selepas proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, yang selesai sekitar pukul 7.30 malam semalam.
Jenazah dibawa keluar dari hospital pukul 9.20 malam dan dikebumikan semula sekitar pukul 1 pagi.
Menurut peguam keluarga, Shahlan Jufri, laporan penuh bedah siasat dijangka siap dalam tempoh dua minggu. Sekiranya keluarga tidak berpuas hati dengan hasil laporan tersebut, mereka akan memohon inkues untuk menyiasat punca kematian secara terbuka di mahkamah.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu. Dia kemudian disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Ibunya, Noraidah Lamat, memohon jenazah digali semula bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan setelah timbul dakwaan kemungkinan berlaku unsur buli atau penganiayaan.
