
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini menegaskan bahawa Menteri Pendidikan tidak wajar bersikap defensif dalam menangani kes kematian tragis pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Dalam ucapannya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu menekankan isu ini menyentuh perkara paling asas iaitu keselamatan anak-anak di sekolah.
“Sebagaimana Perdana Menteri sudah beri komitmen untuk siasatan yang adil dan telus, Menteri Pendidikan tidak perlu defensif. Ini bukan soal menjaga imej kementerian, ini soal nyawa,” katanya.
Nik Nazmi juga menegur mana-mana pihak yang menyalahkan ibu bapa atau netizen yang membuat spekulasi, sebaliknya menegaskan kerajaan perlu menunjukkan tindakan tegas dan serius terhadap kebimbangan masyarakat.
“Kita tak boleh terus salahkan ibu bapa atau masyarakat. Apa yang penting ialah kerajaan tampil dengan ketelusan dan ketegasan. Rakyat mahu lihat kita benar-benar ambil berat, bukan menyembunyikan kelemahan,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan keperluan untuk menilai semula sistem pendidikan jika keselamatan pelajar masih menjadi isu.
“Isu buli bukan lagi kes terpencil, ia kini isu nasional. Jika perlu ada anjakan sistem, kita perlu lakukannya. Tidak guna bercakap soal prestasi pelajar kalau keselamatan mereka sendiri tidak dapat dijamin,” katanya.
Dalam pada itu, peguam keluarga Allahyarham Zara, Shahlan Jufri, mengesahkan terdapat kecederaan fizikal pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu.
Beliau yang menyaksikan sendiri seluruh proses bedah siasat selama lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), berkata maklumat itu selari dengan dakwaan yang tersebar dalam media sosial.
“Saya sendiri berada dalam bilik bedah siasat tanpa makan dan minum sepanjang prosedur. Kami ingin memastikan kebenaran didedahkan demi keadilan untuk Zara,” katanya.





