
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memperketat undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilik kenderaan asing yang dikesan mengisi petrol RON95 bersubsidi di negara ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, setakat ini hanya pemilik stesen minyak boleh dikenakan tindakan, manakala pemandu kenderaan bernombor pendaftaran asing terus terlepas daripada sebarang hukuman.
“Sudah empat bulan kita kemukakan cadangan ini. Kami mahu KPDN diberi kuasa untuk bertindak terus terhadap pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di Pasaraya Maslee B5, hari ini.
Cadangan ini kembali hangat selepas dua insiden tular minggu lalu melibatkan pemilik kenderaan mewah berdaftar di Singapura, yang didapati mengisi RON95.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki dirakam mengisi minyak ke dalam botol plastik besar di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri, selepas terlebih dahulu memenuhi tangki kenderaannya.
Beberapa hari kemudian, satu lagi gambar tular menunjukkan tindakan serupa di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor kini menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman CCTV di lokasi terlibat.
“KPDN sudah mulakan siasatan awal dan kes akan dibawa kepada pihak pendakwa raya selepas ini,” ujar Ting Han.
Katanya, cadangan Johor jelas iaitu undang-undang perlu ditambah baik agar pemilik kenderaan asing juga boleh dikenakan tindakan, bukan hanya pengusaha stesen minyak.
“Langkah ini bukan sahaja penting untuk menegakkan keadilan, tetapi juga untuk mengelakkan ketirisan subsidi rakyat Malaysia kepada warga asing.
“Undang-undang sedia ada tidak cukup untuk membendung isu ini. Kita perlukan peraturan yang membolehkan penguat kuasa bertindak di tempat kejadian,” kata Ting Han.





