
PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk bagi penunggang motosikal.
Penegasan itu sekali gus menafikan dakwaan tular dalam media sosial yang mendakwa penunggang motosikal akan mula dikenakan bayaran tol bermula Oktober ini, seperti dimuat naik oleh pemilik akaun ‘ebidmotor.com’.
Dalam satu kenyataan semalam, LLM menyifatkan maklumat tersebut sebagai tidak benar, mengelirukan, serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan pengguna motosikal.
LLM juga menegaskan dakwaan itu boleh menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM serta syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
“Untuk makluman, syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini hanya menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR),” jelas kenyataan itu.
LLM berkata, sekiranya ujian itu berjaya, sistem berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS, dan bukan melibatkan pengenaan tol ke atas motosikal.
Tujuan utama pelaksanaan sistem ANPR adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna, serta mengurangkan kesesakan di plaza tol.
Sehubungan itu, LLM menyeru orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya bertol, tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Setakat pukul 10 pagi tadi, hantaran di laman Facebook yang mengandungi dakwaan palsu itu menerima lebih 2,000 komen dan 568 perkongsian, menunjukkan penyebaran yang meluas dalam kalangan pengguna media sosial.





