
KUALA TERENGGANU: Polis menahan sepasang suami isteri selepas disyaki mendera anak lelaki mereka yang berusia setahun 11 bulan sehingga mengakibatkan kematian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 4.14 petang, Rabu lalu, berhubung insiden tersebut.
Mangsa, anak bongsu daripada dua beradik, dibawa ke hospital oleh bapa kandung dan ibu tirinya sekitar pukul 1 tengah hari dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut Azli, bapa mangsa mendakwa kejadian bermula pada 5 Ogos (Selasa), apabila mangsa terjatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik, menyebabkan dahinya bengkak.
Bapa mangsa kemudian menuam dahi anaknya dengan ais, dan kanak-kanak itu dilaporkan kembali aktif seperti biasa.
Namun, keesokan harinya sekitar pukul 12 tengah hari, ketika ingin memberikan susu, bapa mangsa mendapati tubuh anaknya lemah dan tidak bermaya.
Bimbang anaknya diserang sawan, lelaki itu bertindak mengurut leher mangsa, yang menyebabkan kesan lebam.
Mangsa pada mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Manir, sebelum dirujuk ke HSNZ berikutan keadaan yang semakin kritikal.
Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan otak serta lebam dan luka yang dipercayai akibat hentakan objek tumpul sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 petang keesokan harinya.
Bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah pendarahan dalam kepala akibat trauma dipukul objek tumpul.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku memukul mangsa menggunakan penyangkut baju,” kata Azli.
Pasangan berkenaan iaitu lelaki berusia 27 tahun dan wanita berumur 30 tahun ditahan pada pukul 10 malam di Pusat Pengurusan Jenazah Rhu Muda, Marang, selepas selesai urusan pengebumian.
Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari hingga Sabtu depan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Polis turut merampas sebatang penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Sementara itu, seorang lagi anak pasangan terbabit yang berusia tiga tahun kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).






