
KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir menegaskan tiada sebarang kutipan sumbangan dibuat bagi membiayai yuran guaman berkaitan kes tersebut.
Menurut peguam Hamid Ismail, beliau dimaklumkan mengenai satu komen dalam aplikasi TikTok yang meminta sumbangan kononnya untuk membayar yuran guaman bagi kes berkenaan.
“Kami tidak ada membuat sebarang kutipan sumbangan kerana kes ini dikendalikan secara pro bono, iaitu khidmat guaman percuma.
“Jika ada pihak membuka tabung atau memohon sumbangan atas alasan itu, ia adalah palsu dan tidak benar,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini demi kepentingan peribadi.
Terdahulu, proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina bermula sekitar pukul 9 pagi dan dijangka mengambil masa panjang.
Selepas selesai, jenazah akan dibawa ke Sipitang untuk dikebumikan semula.





