KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Orang Asli maut apabila lehernya tertusuk bilah sabit bergalah yang dibawa oleh bapanya semasa mereka menunggang motosikal menuju ke kebun sawit di Kampung Penderas, Temerloh, semalam.
Mangsa, Haniff Abu, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi dan jasadnya ditemui oleh sepupunya yang secara kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dengan bapanya membonceng di belakang sambil memikul sabit bergalah panjang di bahu.
Ketika dalam perjalanan, motosikal mereka dikatakan hilang kawalan selepas melanggar busut, menyebabkan kedua-dua beranak itu terjatuh dan bilah sabit yang dibawa tertusuk ke leher mangsa.
Mazlan berkata, bapa mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian pipi dan telinga kanan, namun berada dalam keadaan trauma dan tidak dapat mengingati kejadian dengan jelas, dipercayai akibat gegaran otak ringan.
“Sabit berkenaan masih terikat pada galah pengait pelepah sawit dan kain guni yang membalut bilahnya didapati koyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
