KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah menganjurkan Citra Nusa@Muzium: ASEAN Natives and Indigenous Festival 2025.
Program itu merupakan inisiatif untuk meraikan serta memperkenalkan keunikan budaya, seni dan warisan masyarakat Orang Asli dan komuniti pribumi dari seluruh negara ASEAN.
Majlis perasmian festival yang berlangsung di Dataran Muzium Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami.

Katanya, festival ini sejajar dengan tema KPN 2025, “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, yang menekankan kepentingan menghargai budaya dan warisan sebagai asas pembinaan perpaduan masyarakat.
“Penganjuran festival ini memberi impak positif kepada institusi muzium dalam memperkukuh naratif kepelbagaian budaya serta memperluas apresiasi masyarakat terhadap kekayaan sejarah, alam semula jadi dan warisan negara.
“JMM juga diseru memperkasa peranan Muzium Adat di Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan utama dalam mempromosikan warisan adat dan budaya etnik tempatan.

“Muzium Adat bukan hanya memperkaya kefahaman masyarakat tentang nilai dan adat budaya, malah penting dalam memupuk semangat perpaduan melalui sikap saling menghormati serta penerimaan terhadap kepelbagaian,” katanya.
Sepanjang festival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung termasuk persembahan kebudayaan dari negara-negara ASEAN, pertandingan menyumpit, permainan tradisional kerchang, kuiz interaktif, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah.
