
PUTRAJAYA: Sebarang aduan atau tindakan terhadap pegawai dan agensi kerajaan mesti dibuat berasaskan undang-undang serta melalui proses siasatan yang teliti, bukannya berdasarkan hukuman tanpa siasat atau dorongan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap isu perlu ditangani mengikut saluran perundangan yang betul dan jika aduan itu berasas.
Beliau menambah, ia wajar dibawa ke mahkamah untuk diproses termasuk melalui siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tidak fikir saudara-saudara yang bekerja ini, berhempas pulas bertahun-tahun dalam semua agensi kalau ada kelemahan melampau, munasabah kita tegur.
“Salahnya kita perbaiki tapi jangan kita beri gambaran seolah-olah semuanya buruk,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Bloomberg dalam laporan sebelum ini mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Perdana Menteri pada Jumaat lepas berkata, tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Dalam ucapannya, Anwar berkata tindakan menghukum sebelum siasatan terperinci dijalankan adalah tidak wajar.
“Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, ikut proses undang-undang dan kalau ada aduan-aduan yang berat (kita) bawa kepada prosesnya.
“Belum siasat mesti hukum dulu, saya tidak pilih jalur itu. Jangan kita gopoh kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita.
“Ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita. Kita harus beringat begitu. Apalagi bulan Ramadaan ini,” katanya.






