
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Madani dan penjawat awam yang berusaha keras dalam mengurus ekonomi serta pembangunan negara.
Sultan Ibrahim bertitah, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Walaupun ada pihak memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutama oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan berjaya diharungi,” titah baginda dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Hadir pada istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kabinet lain.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
Baginda bertitah, begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci antara satu sama lain.
“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu padu.
“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini telah menular dan tidak boleh diubati..awak fikirlah apa virusnya,” titah baginda.
Baginda menegaskan penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Pegawai kerajaan harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.
“Setiap perbelanjaan juga mesti dikawal rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau ahli Parlimen untuk memancing undi, sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menggesa semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti supaya rakyat tidak hilang kepercayaan dan terus menghormati pakaian seragam yang dipakai.





