KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan kenyataan awam berkaitan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bertujuan mewujudkan kekebalan mutlak.
Menerusi kenyataan, AGC memaklumkan, soalan-soalan yang dirujuk di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 itu tidak mewujudkan kekebalan mutlak bagi mana-mana individu.
“Sebaliknya, kesemua soalan terbabit membangkitkan isu Perlembagaan baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya yang berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan Perdana Menteri yang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi Eskekutif dengan berkesan.
“Lapan soalan itu merangkumi sama ada tindakan sivil perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir, sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes-kes seperti ini.
“Dan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan prosedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Anwar dilaporkan mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau kekebalan bersyarat daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
AGC juga menyatakan, soalan-soalan berkenaan melibatkan tadbir urus Perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi.
Katanya, proses rujukan Perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan yang muktamad terhadap isu-isu berkaitan.
“AGC menghormati integriti mekanisme Perlembagaan dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang serta kepentingan awam, bukan sentimen berbaur politik.
“Sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
