BATU PAHAT: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR, tidak terikat dengan akta antilompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia berikutan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu adalah Senator yang dilantik dan bukan ahli Parlimen.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu menegaskan, peletakan jawatan Tengku Zafrul dalam parti tidak tertakluk seperti mana dikenakan terhadap Ahli Parlimen.
“Saya tiada apa nak ulas, cuma nak ucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Dalam politik ini kita tidak boleh memaksa orang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Serbaguna Taman Melodi Kampung Parit Bilal, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul mengesahkan penyerahan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan kepada pucuk pimpinan parti.
Beliau yang menyertai UMNO pada 1997, memaklumkan mengambil masa agak panjang memikirkan keputusan ini secara mendalam sebelum melepaskan semua jawatan dalam parti.
Dalam pada itu, Johari menegaskan tindakan diambil Tengku Zafrul tidak menjejaskan hubungan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak boleh lagi bergaduh kerana masing-masing ada peranan. Macam saya yang menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, kita ada tanggungjawab salah satunya adalah untuk memastikan kestabilan politik.
“Kalau tiada kestabilan politik, macam mana kita membangunkan negara. Jadi, soal ini (Tengku Zafrul) tidak menjejaskan pakatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
