
GOMBAK: Guru wanita disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah tadika swasta di Rawang, direman enam hari, bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata penahanan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Guru berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 5 Jun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu guru wanita yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan di sebuah tadika swasta di Kota Emerald, Rawang ditahan polis, semalam.
Wanita berusia 30 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira 2 petang.
Noor Ariffin dilapor berkata, tangkapan dibuat susulan laporan oleh bapa mangsa pada pukul 11.13 malam kelmarin.
Siasatan mendapati kejadian kira-kira 10 pagi pada 26 Mei lalu apabila bapa mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa melihat kesan kecederaan pada kepala anaknya.
Mangsa memberitahu ia berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di tadika.
Berikutan itu, bapa mangsa membawa anaknya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan pada kepala.






