KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan dua menteri iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad adalah tindakan yang dibuat berdasarkan prinsip.
Kedua-dua ahli politik itu berundur daripada jawatan mereka kerana memahami mereka sudah tidak lagi mempunyai mandat selepas tewas dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kedua-dua pemimpin itu menyedari mereka berada dalam kerajaan dan parti sebelum ini kerana diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab.
“Selepas tewas, mereka tahu mandat itu juga sudah tiada, jadi, Rafizi dan Nik Nazmi membuat keputusan berundur dan melepaskan jawatan masing-masing.
“Tidak perlu kutuk atau kritik keputusan yang mereka buat. Tiada yang salah dengan keputusan itu,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, Rafizi yang memegang jawatan Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas masing-masing tewas dalam pemilihan parti.
Peletakan jawatan ini menimbulkan spekulasi tentang siapa akan mengisi kekosongan tersebut selepas Kerajaan Perpaduan kehilangan dua menteri serentak yang pasti akan membawa kepada rombakan Kabinet.
Dalam pada itu, Azmi berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu sebenarnya perlu dicontohi oleh ahli politik lain terutamanya selepas tewas dalam pemilihan parti atau di peringkat kerajaan.
Katanya, langkah terhormat itu lebih meyakinkan berbanding cuba memburukkan mana-mana pihak atau mencetuskan kekecohan susulan tidak dapat menerima kenyataan sudah kalah.
“Tiada masalah untuk berundur daripada parti atau kerajaan kerana itulah erti sebenar ahli politik atau parti yang memegang jawatan dan menggalas tanggungjawab kerana diberi mandat oleh akar umbi.
“Mereka tahu, apabila tewas itu bermakna tiada lagi sokongan dan bila tiada sokongan, tiada lagi mandat yang perlu diserahkan.
“Jalan terbaik, berundur secara baik demi menjaga imej parti dan kerajaan. Tidak perlu buruk sangka dengan keputusan yang dibuat,” katanya.
