KUALA LUMPUR: Kempen Keselamatan Internet yang dilancarkan di seluruh negara menumpukan lima isu kritikal dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lima isu kritikal itu adalah penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun selain meningkatkan keprihatinan ibu bapa tentang pengawasannya.
“Jelajah Kempen Keselamatan Internet dilancarkan pada Januari 2025 menampilkan forum interaktif dan sesi penglibatan dengan pelajar dan orang ramai untuk mempromosikan keselamatan dalam talian serta tingkah laku digital bertanggungjawab,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Telekomunikasi Asia Pasifik Peringkat Menteri di Tokyo, Jepun.
Kata Fahmi, Malaysia memperkenalkan Rangka Kerja Kawal Selia untuk Penyedia Perkhidmatan Mesej Internet dan Media Sosial menyaksikan semua perkhidmatan mesej internet serta penyedia perkhidmatan media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, dasar itu memastikan platform utama mematuhi undang-undang Malaysia dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam mengurus kandungan.
Katanya, Malaysia juga membangunkan Tata Kelola (Amalan Terbaik) untuk Pemesejan Internet dan Pembekal Perkhidmatan Media Sosial (CoC) yang diterbitkan pada 20 Disember 2024.
“Ia menggalakkan amalan, kebertanggungjawaban etika dan kandungan yang sederhana oleh platform seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulunya Twitter), dan TikTok.
“Tata kelola ini dibangunkan sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang semakin meningkat tentang maklumat yang tidak tepat, kandungan yang berbahaya dan keselamatan dalam talian,” katanya.
