
KUALA LUMPUR : Demokrasi matang tidak akan wujud tanpa kewartawanan yang bebas, adil dan berani, kata Datuk Seri R. Ramanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu dalam kenyataan rasmi di Facebooknya berkata penghormatan harus diberikan kepada wartawan yang setiap hari menulis dengan nurani dan menyampaikan suara rakyat dengan penuh dedikasi serta tanggungjawab.
“Saya berdiri bukan sekadar sebagai seorang pemimpin, tetapi sebagai seorang insan yang menghargai betapa pentingnya kepercayaan untuk bersuara.
“Justeru, saya amat menghargai setiap laporan dan liputan yang media sampaikan, termasuk tentang diri saya, program berkaitan saya sejak dulu hingga sekarang,” katanya sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun, dengan Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR turut menghargai peranan media yang memberikan ruang kepada beliau dan rakan-rakan untuk menyuarakan agenda reformasi.
“Tanpa anda, suara kami tidak sampai dan tanpa anda juga, suara rakyat tidak akan bergema. Teruskan menulis yang benar dan jangan gentar bersuara demi keadilan,” katanya.





