
KUALA LUMPUR : Keputusan Amerika Syarikat (AS) memberikan pengecualian sementara selama 60 hari terhadap sekatan jualan minyak mentah Iran di pasaran antarabangsa dilihat berpotensi membuka ruang baharu kepada Iran dan Malaysia untuk memperluaskan kerjasama ekonomi, khususnya dalam industri tenaga.
Langkah pelonggaran sekatan itu diumumkan susulan pusingan pertama rundingan antara AS dan Iran yang berlangsung di Switzerland, sebagai sebahagian daripada usaha kedua-dua pihak mencapai penyelesaian menyeluruh bagi meredakan konflik yang berlarutan.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, pengecualian sementara tersebut membolehkan negara-negara lain mendapatkan bekalan minyak mentah serta produk petroleum Iran tanpa dikenakan sekatan, sekali gus membuka peluang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi antara Iran dengan rakan-rakan antarabangsa, termasuk Malaysia.
“Mana-mana negara kini boleh membeli minyak dan hasil pengeluaran minyak dari Iran dan tiada larangan terhadap kerjasama sedemikian.
“Oleh itu, Malaysia juga boleh, sudah tentu, datang dan membeli minyak dari Iran,” katanya kepada media di luar Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 anjuran Institut Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Valiollah, perkembangan tersebut berpotensi membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Iran, khususnya dalam bidang perdagangan dan tenaga, berasaskan hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Ada peluang yang baik bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, khususnya kerana kedua-dua negara menikmati hubungan yang sangat baik dalam semua bidang, termasuk politik, budaya, sains dan teknologi.
“Tiada sebarang halangan dan saya yakin rundingan teknikal boleh diadakan antara pihak Iran dan Malaysia sekiranya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau mana-mana syarikat lain berminat untuk membeli minyak Iran,” katanya.
Petronas sebelum ini mempunyai kepentingan dalam sektor huluan minyak dan gas Iran.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum, syarikat minyak nasional itu tidak lagi mempunyai sebarang operasi huluan yang aktif di negara tersebut selepas keluar daripada pembangunan medan gas di sana sebelum ini





