KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya dilepas dan dibebaskan (DNA) sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan itu difailkan oleh peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden minggu lalu.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan keputusan AGC untuk tidak meneruskan sebarang tindakan (NFA) terhadap Presiden UMNO itu.
“Susulan kenyataan media terbabit, kami membuat permohonan DNA pada 28 Januari dan AGC telah memperoleh permohonan itu, dua hari kemudian.
“Memandangkan anak guam telah diberi perintah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, maka tidak adil sekiranya pertuduhan itu masih tergantung atas kepala dia,” katanya.
Beliau berkata, permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada AGC pada tarikh sama.
Sementara itu semasa prosiding, Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Badius Zaman Ahmad mengesahkan menerima permohonan tersebut, Jumaat minggu lalu.
“Memandangkan masa yang terlalu singkat, kami harap prosiding pendengaran permohonan tersebut ditangguhkan ke tarikh lain.
“Kami memerlukan masa dua minggu lagi, untuk memfailkan afidavit,” katanya yang kemudian tidak mendapat bantahan daripada pihak pembelaan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 13 Februari.
“Mahkamah menetapkan hujahan pendengaran permohonan pada 24 Februari ini,” kata hakim.
Dalam prosiding ini, Ahmad Zahid tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya.
Selain Hisyam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, turut diwakili peguam, Datuk Hamidi Mohd Noh, Fatini Athirah Baharin, Atiqa Nazihah Azmi, Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan dan Nurul Hannah Mohd Nazri.
Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi perintah DNAA kepada ahli politik berusia 73 tahun berhubung kes berkenaan.
Pada 8 Januari, AGC berkata, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
