
PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan jabatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd. Hanafiah Man dipertanggungjawabkan bagi merealisasikan cadangan penambahbaikan berkenaan.
“Menjadi tanggungjawab Ketua Pengarah KEMAS untuk memperjuangkan nasib seluruh warga KEMAS. Insya-Allah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) KKDW (Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar) dan saya, akan bantu.
“Saya meletakkan harapan kepada Ketua Pengarah KEMAS untuk memujuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan supaya apa yang disebutkan oleh beliau tadi (dicapai), jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas, di sini hari ini.
Terdahulu Mohd. Hanafiah dalam ucapannya menyatakan terdapat sebanyak 9,719 kakitangan KEMAS berstatus kontrak dengan 1,072 kakitangan berada dalam Gred S1, manakala 191 kakitangan (Gred S2) dan 8,458 kakitangan berada dalam Gred S5.
Beliau berkata semenara kakitangan tetap setelah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun pula adalah seramai 4,587 orang.
“Untuk itu secara asasnya, penambahbaikan yang sedang diteliti adalah untuk membolehkan adanya pergerakan gred perkhidmatan kakitangan, khususnya Gred S1 boleh bergerak sehingga ke gred S4, manakala S5 pula boleh bergerak hingga ke gred S8. Buat masa ini majoriti yang berkhidmat melebihi 30 tahun, mereka berpencen dalam gred yang sama,” katanya.