
KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan tahun ini sebagai Pengerusi ASEAN dengan mengukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa, menerusi lawatan pemimpin negara jiran iaitu Singapura, Indonesia dan Jepun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Kepengerusian ASEAN adalah satu peluang untuk membina kekuatan bersama negara anggota ASEAN lain dalam semua aspek yang akan memanfaatkan negara serantau.
Katanya, 2025 dimulakan dengan lawatan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang menyaksikan pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),
“Hari ini juga, kunjungan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Usaha kami untuk memastikan Indonesia-Malaysia bekerjasama mengangkat kekuatan ekonomi.
“Antaranya ialah kerjasama syarikat utama Indonesia dan Khazanah Nasional Bhd termasuk dalam bidang digital, yang kita tekankan sebagai transformasi digital,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2025, di sini, hari ini.
Seterusnya, Anwar berkata, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pula akan tiba di Malaysia esok.
Beliau berkata, antara beberapa isu yang akan dibincangkan sempena lawatan Perdana Menteri Jepun itu termasuk pelaburan, perdagangan dan peralihan tenaga, termasuk rancangan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri juga berkata, pada Disember lalu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra di Langkawi bagi membincangkan kerja-kerja sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.





