
PUTRAJAYA: Urusan perkhidmatan kerajaan kini menjadi lebih mudah dengan pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI bagi menyantuni keperluan digitalisasi kepada rakyat.
Kiosk Sentuhan MADANI yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi kiosk digital agensi barisan hadapan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dengan jangka masa operasi yang lebih panjang.
Ia sekali gus memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam di luar waktu pejabat.
Bagi fasa pertama, inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI yang dibangunkan dan dikendalikan oleh Unit Pantau MADANI dengan pembabitan pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta akan beroperasi di Alamanda, Putrajaya bermula hari ini.
Pelancaran inisiatif itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dihadiri beberapa anggota Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menerusi inisiatif itu, sebanyak enam kiosk digital menawarkan lebih 90 jenis perkhidmatan ditempatkan di pusat beli-belah berkenaan.
Kiosk itu membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyDigital ID (MIMOS), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisiatif terbabit dengan menyediakan tapak pemasangan kiosk di premis masing-masing.
“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi dengan kerjasama beberapa pihak, kita pasti lokasi seperti pusat beli-belah dan tempat orang ramai memang sesuai (untuk dipasang kiosk),” katanya.
Beliau berkata, Kiosk Sentuhan MADANI yang kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijangka akan mula beroperasi pada penghujung Februari ini.
Sementara itu, Shamsul Azri menerusi kenyataan berkata, Kiosk Sentuhan MADANI menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan direalisasikan sepenuhnya melalui sinergi daripada jabatan dan agensi.