
KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Perpaduan melaksanakan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) merupakan langkah baik dan proaktif untuk memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam mengurus kandungan dalam talian.
Kajian oleh Haidt dan Rose-Stockwell pada 2021 mendapati, kebertanggungjawaban pengendali platform dapat membantu menapis kandungan berbahaya seperti berita palsu, jenayah siber, dan gangguan dalam talian, sekali gus mewujudkan penyaluran maklumat selamat untuk pengguna.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Petronas, Dr Hafizan Mat Som berkata, lesen itu dapat menggalakkan pengendali untuk mengutamakan nilai integriti , nilai informasi dan keselamatan pengguna.
“Kita tahu bila bercakap soal media, perkara paling utama mereka mahu mendapatkan ‘view’ atau ‘rating’ yang bagus dan banyak daripada pengguna. Makin banyak kedua-dua perkara itu, makin banyak untung yang mereka perolehi.
“Keadaan itu mendorong sesetengah platform ini tidak menyekat atau mengurangkan bahan kandungan yang sensitif termasuk berunsurkan jenayah.
“Melalui pelaksanaan CASP, platform media sosial yang ingin meneruskan operasinya di negara kita perlu menjadi lebih bertanggungjawab dalam menyediakan kandungan dan maklumat yang selamat.
“Tanggungjawab itu memberikan kesan yang positif apabila masyarakat disajikan dengan bahan kandungan atau maklumat yang sahih, selamat dan tidak sensitif,” katanya kepada Ceritera.
Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 27 Julai lalu mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.
Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil bawah Akta 588.
Dalam pada itu, Hafizan berkata, kadar keberkesanan lesen tersebut adalah berdasarkan pelaksanaan dan penguatkuasaan yang telus.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan CASP berkesan secara menyeluruh.
“Masyarakat perlu peka dengan sumber maklumat dan bahan kandungan yang ada dalam platform media sosial. Jika ada kandungan yang kurang sesuai, mereka boleh segera buat aduan kepada pihak berkaitan.
“Melalui penguatkuasaan yang telus dan menyeluruh, CASP boleh menjadi pelopor kepada sektor keselamatan siber di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Hafizan turut menyatakan CASP tidak boleh dilihat sebagai mekanisme menyekat kebebasan masyarakat daripada bersuara.
Ujarnya, ada perbezaan antara menyekat kebebasan bersuara dengan tidak boleh menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan kekecohan.
“Mekanisme (CASP) ini tidak menghalang inovasi teknologi agar pengendali dan pembangun kandungan dapat bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan inovasi semasa,” jelasnya.