
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, bermula Isnin ini.
KPM memaklumkan, agihan BAP untuk pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari manakala agihan kepada pelajar Tingkatan 6 baharu akan bermula 1 Julai.
“Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
“Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, agihan BAP kepada murid akan dilakukan pihak sekolah menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa atau murid (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid, pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (dilaksanakan mulai 2025).
“Inisiatif BAP menyerlahkan keprihatinan kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan,” katanya.