
PETALING JAYA: Pusat Pelancongan Islam (ITC) menjalin kerjasama dengan tiga organisasi pelancongan utama iaitu Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA).
Jalinan kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara ITC dengan ketiga-tiga agensi berkenaan dalam satu majlis di Hotel One World, di sini semalam.
Persetujuan itu juga bakal menyaksikan ITC mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam industri Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).
Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, kerjasama itu memfokuskan kepada program lawatan sekumpulan imam dari China dan Eropah sebagai sebahagian daripada program yang ‘disediakan khas’.
“Usaha itu bertujuan mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra Muslim, kaya dengan warisan budaya, alam semula jadi dan mempunyai pelbagai tarikan.
“Kerjasama itu juga bertujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi utama bagi semua pengembara Muslim dari seluruh dunia,” katanya Ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Beliau menyatakan kerjasama terbabit mencerminkan dedikasi Malaysia untuk membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim yang mampan.
Katanya, usaha itu melibatkan barisan kepemimpinan berpengaruh dari masyarakat Islam di China dan Eropah.
“Kami berhasrat untuk mencipta hubungan yang matang dan berupaya memupuk kesedaran antarabangsa, selain dapat memacu pelbagai peluang ekonomi bagi sektor pelancongan tempatan,” ujarnya.
Nizran juga mendedahkan mengenai kejayan program perintis yang dilakukan pada Januari tahun lalu dengan kerjasama MICA.
Katanya, program permulaan itu melibatkan 35 iman dari 14 wilayah di China, sekali gus menyaksikan Malaysia menerima kemasukan hampir 60,000 pelancong Muslim Cina dan menjana pendapatan sebanyak RM92.8 juta.
“Kejayaan itu mendorong ITC untuk melakukannya sekali lagi, cuma ada tambahan melibatkan negara-negara Eropah seperti Perancis, Russia dan United Kingdom (UK),” jelasnya.