
KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga baharu di rantau ini menerusi Sarawak menjadi antara tumpuan perbincangan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba esok, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Ishiba akan tiba di Malaysia esok dan kedua-dua pihak akan membincangkan beberapa isu pelaburan dan perdagangan.
Katanya, perbincangan juga akan melibatkan satu rencana baharu yang sangat kritikal dari segi peralihan tenaga atas ikhtiar Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dan PETRONAS.
“Kita harap dalam perbincangan itu akan merencana menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai hab tenaga bagi rantau ini,” katanya ketika merasmikan Forum Ekonomi Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri Jepun memilih Malaysia sebagai destinasi untuk melancarkan hubungan diplomatiknya bagi 2025 serta memulakan lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan Oktober lalu.
Ia sekali gus sebagai satu isyarat yang menekankan hubungan erat dan strategik antara kedua-dua negara.
Lawatan Ishiba mencerminkan hubungan erat yang berkekalan antara Malaysia dan Jepun, hubungan yang sudah diperkukuh selama beberapa dekad dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.
Ishiba berkata, perkongsian itu mendorong kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, transformasi hijau (GX) dan kerjasama antarabangsa.