
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas persiaran sebelum memulakan tugas bagi mengelakkan mereka mengambil dadah ketika bertugas.
Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu perlu diambil berikutan berlaku beberapa siri kemalangan membabitkan pelancong.
“Ada polis memaklumkan sesetengah pemandu bas mengambil dadah atas alasan dipaksa majikan bekerja selama 12 jam.
“Pihak agensi pelancongan juga digesa supaya menjaga keselamatan pelancong termasuk dari segi penyediaan pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus bersama Pemain Industri Pelancongan (Wilayah Tengah) di sini hari ini.
Dalam kejadian 23 Disember lalu, tujuh termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 (KM) Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menambah jumlah pegawai penguatkuasaan dalam kementerian berkenaan bagi mengatasi beberapa isu dibangkitkan pemain industri.
“Kita sedia maklum mengenai isu ramai agensi pelancongan tidak berlesen. Bagi mengatasi masalah ini, kita memerlukan penambahan pegawai penguatkuasaan.
“Ini juga termasuk bagi mengatasi isu agensi pelancongan serta pemandu pelancong yang menyewa lesen mereka kepada orang luar seperti yang berlaku di Sabah,” katanya.