
MADINAH: Jatuh cinta dengan ketenangan di Tanah Suci menyaksikan sepasang suami isteri dari Malaysia tekad dengan keputusan untuk meneruskan kehidupan di sini.
Keputusan itu dibuat Mukram Faiz Mohammad, 45, pada 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, termasuk Malaysia.
Mukram Faiz yang berasal dari Kelantan memberitahu, dia sebelum ini bekerja dengan syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) di Mekah dan Madinah dari tahun 2012 hingga 2020.
Keputusan itu membuka peluang kepada lelaki itu untuk menceburi perniagaan buah kurma dan menjawat jawatan Pengurus Besar Ladang Kurma Aryaf Taibah, iaitu ladang kurma terbesar di Madinah.
“Ketika pandemik Covid-19 melanda, saya dan isteri buat keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia dan tinggal di sini (Madinah). Kami jatuh cinta dengan ketenangan di Tanah Suci ini dan keadaan itu tiada di tempat lain.
“Saya mula terlibat dengan perniagaan kurma. Saya mendapatkan bekalan buah tersebut dari kilang-kilang yang terdapat di sini untuk dihantar ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di ladang tersebut.

Mukram faiz turut menceritakan, dia bertemu dengan seorang sahabat daripada keluarga yang mengusahakan ladang kurma dan menjalin kerjasama untuk memasarkan kurma sepanjang pandemik Covid-19 berlangsung.
“saya memilih ladang ini kerana pada waktu pandemik, perniagaan kurma menjadi sedikit perlahan menyebabkan banyak bekalan tidak habis.
“Kalau tidak habiskan, susah nak simpan kerana ia akan meningkatkan kos.
“Disebabkan itu, ladang akan bekalkan kurma ke mana sahaja asalkan bekalan habis. Kami hantar ke Malaysia, Pakistan dan Albania dengan separuh daripada hasil tuaian 80 tan setahun dihantar ke Malaysia,” ujarnya.
Jelas Mukram Faiz, bekalan kurma itu dihantar ke Malaysia menggunakan dua kontena setiap tahun dengan satu kontena mengandungi 24 tan kurma.
Dia juga memberitahu, ladang kurma yang dihasilkannya itu mempunyai lebih 2,000 pokok.