KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pempengaruh, Aliff Ahmad tidak seharusnya dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk disiasat ekoran membuat cabaran yang menyentuh latar belakang dirinya.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menegaskan, pihaknya juga tidak pernah membuat aduan kepada MCMC bagi mendorong agensi itu mengambil sebarang tindakan terhadap Aliff.
“Saya tidak mengenali dia ataupun pernah bertemu dengannya. Saya juga tidak pasti cara dia mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.
“Namun yang pasti, dia tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan mengenai saya.
“Saya ingin menegaskan saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Aliff dalam perkongsian semalam mendakwa dipanggil MCMC selepas membuat posting di Facebooknya menawarkan untuk membuat scrut ke atas Nurul Izzah jika mendapat 20,000 perkongsian (shares) daripada pengikutnya.
Susulan itu, Aliff mendakwa menerima notis daripada MCMC memintanya hadir ke ibu pejabat agensi itu di Cyberjaya pada pukul 8 malam tadi untuk diambil keterangan berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, Aliff memaklumkan dia tidak dapat berbuat demikian kepada pegawai MCMC yang menghubunginya dan berjanji hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pagi ini.
Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh.
“Selainnya, kita berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Moga Allah SWT memberkati segala usaha kita,” katanya.
