TAPAH: Pelajar Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijamin tempat untuk melanjutkan penganjian di Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut meminta MARA menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Orang Asli berkenaan.
“Ini adalah keprihatinan Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya membantu terjemahkan pelaksanaannya pada seluruh kumpulan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 5A dan ke bawah juga akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa arahan itu tiada kaitan dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Untuk rekod pada 2024, sebanyak 1,932 pelajar Orang Asli menduduki peperiksaan SPM di seluruh Semenanjung dan daripada jumlah itu, 87 pelajar berjaya mencatat keputusan 5A ke atas iaitu 9A (dua), 8A (13), 7A (11), 6A (22) dan 5A (39).
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata laluan TVET khusus untuk Orang Asli turut diwujudkan bagi memastikan mereka turut menjadi sebahagian daripada sumber manusia berkemahiran di negara ini.
